(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bersalaman bersama orang ramai ketika hadir pada Majlis Rumah
Terbuka Malaysia Madani di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV/ Foto BERNAMA)
KOTA BHARU, 13 Mei - Hubungan baik yang terjalin antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan membuktikan terdapat banyak projek pembangunan bakal dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.
Justeru itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata tidak sepatutnya wujud lagi dakwaan bahawa Kelantan dipinggirkan daripada arus pembangunan berikutan tiada kesefahaman baik hubungan bersama kerajaan persekutuan.
"Terbuktilah pada malam ini bila diumumkan oleh YAB Perdana Menteri tadi dan angka-angka yang disebut sangat jelas jumlahnya berbilion-bilion…jadi kita lihat Kelantan tidak tertinggal dan hubungan yang baik itu sudah pasti manfaatnya yang akan dinikmati rakyat akhirnya nanti Insya-Allah," kata beliau ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ditemu bual media pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia
Madani di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu)
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika berucap pada majlis itu berharap projek yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan di negeri itu dapat dilaksanakan dengan jayanya sekali gus dapat memacu lebih banyak pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan pelaburan.
Pada masa sama, beliau turut yakin kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan mampu membantu dalam memudahkan segala urusan berkaitan pembangunan di Kelantan demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat secara menyeluruh.