KEPALA BATAS, 13 Mei - Pertemuan pertama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) mengenai rundingan berhubung kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang berjalan lancar dan mencapai persefahaman.
Ketika ini, ia sedang diperhalusi di peringkat perbincangan.
Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pelbagai sudut pandangan turut diutarakan dalam pertemuan berkenaan dan perbincangan lanjut akan diadakan pada pertemuan seterusnya minggu depan.
Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, rundingan itu mengambil kira kepentingan dan keazaman secara bersama menerusi formula gagasan Kerajaan Perpaduan untuk terus kukuh dalam membela nasib rakyat.
Apa sahaja keputusan yang dibuat pihak tertinggi akan diterima dengan terbuka.
(Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ditemu bual media pada Majlis Rumah Terbuka
Aidilfitri di Kepala Batas, malam tadi)
"Bila mana rundingan sedang berlaku ada baiknya kita nantikan sehingga ia sampai ke tahap yang telah dimuktamadkan, sebab ia sedang dalam proses, tetapi saya boleh katakan proses itu berjalan dengan baik," kata beliau ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, di sini malam tadi.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Media sebelum ini melaporkan, Pakatan Harapan dan UMNO Pulau Pinang dijangka mengadakan mesyuarat kedua minggu depan bagi meneruskan perbincangan pembahagian kerusi menjelang PRN.
Chow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berharap mesyuarat kedua akan membuahkan hasil dengan mendapat persetujuan kedua-dua pihak berhubung hal-hal berkaitan PRN.