
KUALA LUMPUR, 5 April -Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menguruskan bantuan segera kepada keluarga dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang dilaporkan lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka dekat Sungai Petani, Kedah, petang semalam.
- KPM menyediakan sokongan psikososial serta tumpuan aspek kebajikan dan kesejahteraan kepada keluarga terlibat.
- KPM menyatakan dukacita dan merakamkan ucapan takziah, mendoakan keluarga diberi kekuatan dan ketabahan.
- Kejadian sedang disiasat oleh pihak berkuasa; KPM jalankan siasatan dalaman mengenai pematuhan SOP.
- KPM mengingatkan semua institusi pendidikan memastikan aktiviti luar mematuhi SOP dan keselamatan peserta diberi perhatian.
KPM menerusi kenyataan memaklumkan, kementerian menyediakan sokongan psikososial dan aspek kebajikan serta kesejahteraan turut diberikan tumpuan.
“KPM menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar IPG Kampus Perlis yang mengalami kemalangan sewaktu mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus pada Sabtu.
“Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan, kejadian itu sedang dalam siasatan pihak berkuasa dan kementerian itu juga telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.
“Semua institusi pendidikan bawah kelolaan KPM diingatkan supaya sentiasa memastikan penganjuran aktiviti luar mematuhi setiap SOP yang sedang berkuat kuasa dan keselamatan peserta diberi perhatian,” menurut KPM.