fb fb fb fb fb

Bantuan SARA RM100 mula disalurkan, ringankan beban rakyat

Lebih 4,000 lokasi terima SARA menerusi MyKad hingga 31 Disember

SUBANG JAYA, 31 Ogos – Bantuan sekali beri RM100 di bawah Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi MyKad mula disalurkan hari ini.

Tinjauan di sebuah pasar raya di Subang Jaya mendapati orang ramai sudah mula memanfaatkan inisiatif berkenaan seawal pagi.

Pihak pasar raya terbabit turut mengambil inisiatif menyediakan ruangan khas bagi menyusun barangan yang layak dibeli, bagi memudahkan pelanggan.

Rata-rata pembeli menyifatkan barangan asas yang ditawarkan pelbagai dan mencukupi.

Norhayati Mior Ahmad, seorang warga emas, berkata beliau membeli barangan asas seperti beras dan gula yang dapat meringankan beban dapur.

“Pembelian barangan seperti telur, biskut, roti, gula dan beras sedikit sebanyak menampung perbelanjaan bulanan kami sekeluarga,” kata Mohd Rahafaizul Mohd Rashid.

Seorang lagi pembeli, Komala Sivachandran, berkata bantuan ini nyata mengurangkan beban keluarga kerana dapat menampung keperluan asas.

Bagi Mohamed Nazly Abdullah pula, keluarganya menerima RM500 termasuk untuk tiga anak, sekali gus membolehkan mereka membeli pelbagai barangan.

“Syukur alhamdulillah, terima kasih atas inisiatif ini. Banyak barangan boleh dibeli, dan saya berharap kerajaan Madani meneruskan bantuan ini,” katanya.

Golongan muda turut memanfaatkan bantuan tersebut untuk barangan harian dan keperluan belajar.

“Saya membeli barangan mandian dan ubat-ubatan. Proses pengesahan transaksi sangat mudah, hanya mengambil masa beberapa minit,” kata Muhammad Razman Rudy.

Orang ramai boleh menggunakan aplikasi MyKasih untuk menyemak lokasi pasar raya berdekatan serta senarai barangan yang layak dibeli.

Bantuan SARA RM100 boleh digunakan di lebih 4,000 rakan niaga seluruh negara sehingga 31 Disember ini.

HASRON BIN HASSAN