fb fb fb fb fb

Bantuan SARA: Orang ramai manfaat Cuti Umum berbelanja barangan dapur

KUALA LUMPUR, 1 September – Orang ramai memanfaatkan cuti umum hari ini untuk membeli barangan keperluan harian menerusi bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mula disalurkan semalam.

Rata-rata penerima berpendapat nilai bantuan RM100 itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Ini satu inisiatif terbaik kepada kami golongan bawahan dan sedikit sebanyak membantu dalam perbelanjaan bulanan,” kata Jasriyatuddin Usman.

Seorang lagi penerima memberitahu, walaupun jumlahnya tidak besar, namun bantuan itu dapat menampung sebahagian kos barangan dapur yang sebelum ini mencecah hampir RM400 sebulan.

“Memang tak berapa banyak tapi membantu lah. Kalau biasa belanja RM400, sekurang-kurangnya RM100 ini boleh tolak sedikit,” ujar Sharizal Hairin.

Bagi keluarga besar, inisiatif ini disifatkan sebagai hadiah buat seisi rumah kerana membantu menampung kos membeli susu, lampin bayi serta barangan asas lain.

“E-Kasih tu ibarat macam hadiah untuk kita sekeluarga. Saya ada dua anak kecil, pakai pampers dan susu, jadi bantuan ini kurangkan beban keluarga,” katanya Norfasha Mohd Fuad.

Ada juga penerima menyatakan mereka berterima kasih kepada kerajaan MADANI atas keprihatinan menjaga kebajikan rakyat, khususnya penduduk di luar bandar.

“Okay lah, ini kerajaan kira dah tolong rakyat, macam di kampung-kampung lagi bagus. Bolehlah beli beras, minyak, biskut, sabun cuci pinggan,” kata Sik Ming Aun.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas, melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

Pemberian itu bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan itu, merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup selain sebagai penghargaan kepada rakyat, yang memberikan manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

Bantuan SARA sebanyak RM100 boleh dibelanjakan hingga 31 Dis 2025.

GRACE AISYAH KEDAYAN