fb fb fb fb fb

BSH RM300 dipanjangkan bagi Veteran Tidak Berpencen

(Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 7 Ogos- Kerajaan bersetuju dengan cadangan pemanjangan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan bagi Veteran Tidak Berpencen.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, menerusi kenyataan berkata bantuan itu diberikan pada golongan yang berusia 60 tahun berbanding sebelum ini hanya dinikmati pada usia 80 tahun.

Beliau berkata cadangan pemanjangan BSH bagi Veteran Tidak Berpencen pada umur 60 tahun itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) yang dipengerusikan Perdana Menteri  Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

"Pemanjangan BSH ini akan berkuat kuasa pada bulan September 2023 dan akan memberi faedah kepada seramai 41,970 Veteran Tidak Berpencen dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun.


(Foto hiasan)

"Selain daripada insentif yang berbentuk kewangan, kebajikan veteran ATM juga dititik beratkan oleh Kerajaan untuk diberi keutamaan jawatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam bersesuaian dengan pengalaman dan kemahiran mereka semasa dalam perkhidmatan ATM.

"Pemanjangan BSH kepada Veteran Tidak Berpencen pada usia 60 tahun ini juga adalah kesinambungan keprihatinan Kerajaan kepada penjawat awam.

"Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam dan RM200 kepada pesara Kerajaan semasa pembentangan Ekonomi MADANI yang akan dibayar pada 10 Ogos ini.

Untuk tahun 2023, penjawat awam juga telah menikmati KGT (Kenaikan Gaji Tahunan) tambahan khas sebanyak RM100 sejak Januari 2023 serta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 dan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2023 sebanyak RM700 pada awal tahun 2023.

"Sebagai bukti bahawa penjawat awam juga sentiasa berpegang kepada lafaz Ikrar Perkhidmatan Awam, maka saya dan penjawat awam akan terus komited dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif Kerajaan disegerakan serta dilaksanakan dengan jayanya", katanya.

Media Baharu