fb fb fb fb fb

Banteras sampah haram, KPKT gesa Perak terima pakai Akta 672

Banteras sampah haram, KPKT gesa Perak terima pakai Akta 672

IPOH, 23 Ogos – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa kerajaan negeri segera menerima pakai Akta 672 susulan pendedahan RTM mengenai kegiatan pelupusan sampah haram di Kampung Pasir Puteh, Perak bulan lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata langkah itu penting bagi memastikan tindakan tegas dan teratur dapat diambil terhadap sindiket pembuangan sampah haram yang semakin berleluasa.

“Saya sentiasa mengalu-alukan dan sebenarnya sudah maklum kepada YB Sandrea, dan kini menanti keputusan daripada kerajaan negeri. Kita tidak memaksa, sebaliknya menggalakkan. Saya harap Perak dapat segera menerima pakai akta ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Setakat ini, Perak antara lima negeri yang belum menerima pakai Akta 672, selain Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

2308 PRK NGA AKTA 672 2Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

Nga menjelaskan, pelaksanaan akta berkenaan terbukti berkesan di negeri-negeri yang telah menggunakannya.

“Lebih 2,500 tapak sampah haram berjaya ditutup melalui lebih 2,600 operasi penguatkuasaan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“Sehingga kini, sebanyak 151 individu telah didakwa dengan kutipan kompaun mencecah RM1.81 juta,” katanya.

Di bawah Seksyen 71 Akta 672, pelupusan sampah haram merupakan kesalahan serius yang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun.

Antara langkah penambahbaikan lain termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penggunaan kenderaan elektrik bagi kutipan sampah serta hukuman khidmat masyarakat kepada pesalah.

Nga berharap lebih banyak negeri akan menerima pakai akta ini bagi memastikan kebersihan awam dan kelestarian alam sekitar dapat diperkukuh.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN