fb fb fb fb fb

Mohamad Hasan hadiri mesyuarat tergempar OIC di Jeddah bincang isu Palestin

Membincangkan rancangan Israel untuk ambil alih sepenuhnya Semenanjung Gaza secara paksa / Foto ARKIB BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Ogos – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 25 Ogos ini di Jeddah, Arab Saudi.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, mesyuarat tergempar itu diadakan bagi membincangkan rancangan Israel untuk mengambil alih sepenuhnya wilayah Semenanjung Gaza secara paksa, selain visi peluasan wilayah “Greater Israel” yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Menurut Wisma Putra, agenda mesyuarat itu juga akan menyentuh rancangan Israel untuk membina ribuan penempatan haram di kawasan E1 antara Baitulmuqaddis dan Ma'ale Adumim di Wilayah Palestin yang diduduki.

“Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat tergempar ini menunjukkan komitmen berterusan negara dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu.

Semasa mesyuarat berkenaan, Datuk Seri Mohamad dijadual bertemu rakan sejawatnya bagi membincangkan usaha bersama menamatkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza akibat sekatan bantuan kemanusiaan berterusan oleh rejim Zionis Israel.

Menurut laporan media antarabangsa, United Kingdom, Australia dan Jepun adalah antara 21 negara yang mengutuk rancangan Israel membina penempatan haram kontroversi di Tebing Barat yang diduduki, yang disifatkan akan menggagalkan penyelesaian dua negara untuk Palestin.

OIC dalam kenyataannya turut mengecam sekeras-kerasnya rancangan Israel itu, menyifatkannya sebagai bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, mengancam penyelesaian dua negara serta membawa kepada pengilhakan secara de facto.

HASRON BIN HASSAN