fb fb fb fb fb

Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 6.4%

(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed)

KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Kadar inflasi negara dianggar jauh lebih tinggi iaitu sebanyak 10.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos 2022 sekiranya tiada subsidi yang disediakan oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dasar-dasar dan inisiatif kerajaan berjaya memulihkan ekonomi serta meringankan beban Keluarga Malaysia walaupun ekonomi negara kini sedang menghadapi pelbagai cabaran domestik dan global.

Sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus bagi 2022 diyakini akan dicapai.

Walaupun persekitaran ekonomi global amat mencabar, ekonomi Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama dan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

Bank Dunia telah menaikan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 6.4 peratus bagi 2022 berbanding 5.5 peratus yang dianggarkan sebelum ini.

"Berikut merupakan petunjuk ekonomi yang membuktikan prestasi ekonomi negara menggalakkan. Yang pertama jumlah eksport meningkat sebanyak 30.3% kepada RM1 trilion pada lapan bulan tahun ini, yang kedua jumlah jualan kenderaan penumpang dan komersial meningkat 63% kepada 447,209 unit pada Januari-Ogos tahun ini, yang ketiga ketibaan pelancong meningkat kepada 3.2 juta pelancong bagi Januari hingga Julai tahun ini dan kadar pengangguran sudah turun kepada 3.7% pada bulan Julai," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.


(Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman)

Mengulas mengenai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah pada tahun depan,
Mustapa berkata, Malaysia, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka tidak terkecuali daripada terkena tempias daripada cabaran itu.

Jelas beliau, langkah-langkah untuk menangani cabaran-cabaran itu akan diperincikan dalam Belanjawan 2023.

Media Baharu