fb fb fb fb fb

Bank boleh sekat akaun pelanggan yang mencurigakan - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 3 Mac - Pihak bank boleh mengenakan sekatan ke atas mana-mana pelanggan atau akaun bank yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan akaun atau aktiviti jenayah.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan Bank Negara Malaysia (BNM) telah menerbitkan garis panduan dan amalan terbaik yang boleh diguna pakai oleh pihak bank.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui semasa pembukaan akaun.

"Sekiranya transaksi-transaksi sesebuah akaun menimbulkan kecurigaan, pihak bank boleh mengenakan sekatan sementara ke atas akaun tersebut.

"Ia bagi membolehkan penilaian secara menyeluruh dapat dilaksanakan di samping memastikan wang daripada aktiviti penipuan ataupun aktiviti-aktiviti jenayah lain tidak dikeluarkan daripada akaun tersebut," katanya.

Jelasnya lagi, perkara itu dilaksanakan berdasarkan kepada analisa yang dijalankan oleh pihak bank.

"Pihak bank boleh menyekat kemudahan perbankan internet, kad debit dan mesin juruwang automatik, selain penutupan akaun setelah pihak bank berpuas hati dengan hasil penilaian mereka.


(Tengku Zafrul menjawab persoalan ahli parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim di Parlimen hari ini/Foto Facebook Tengku Zafrul)

Menurutnya, pihak bank boleh mengambil keputusan untuk meneruskan transaksi atau urusan perniagaan dengan pemegang akaun tersebut, atau berdasarkan faktor-faktor tertentu, memutuskan untuk tidak meneruskan transaksi atau menutup akaun pelanggan.

Tambahnya, penutupan akaun hanya diambil setelah pelaksanaan penilaian yang menyeluruh telah dilakukan, dan setelah memberi notis dalam tempoh yang munasabah kepada pelanggan.

"Secara ringkas, penamatan hubungan antara bank dan pelanggan bukanlah keperluan di bawah undang-undang. Ia adalah panggilan perniagaan oleh pihak perbankan atau institusi kewangan berdasarkan penilaian risiko dalaman mereka," katanya yang menjawab persoalan ahli parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bidang kuasa pihak bank untuk menutup akaun pengguna secara serta-merta serta langkah-langkah yang diambil sebelum akaun ditutup.

Media Baharu