fb fb fb fb fb

Banjir Sarawak, Sabah rekod pengurangan penduduk terjejas

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 11 Februari- Jumlah penduduk terjejas banjir di Sarawak yang berlindung Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus berkurang kepada 604 orang, setakat pukul 8.00 malam tadi.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, ia melibatkan 74 Ketua Isi Rumah (KIR).

Mereka berlindung di tujuh PPS membabitkan Daerah Sibu, Mukah, Bintulu dan Beluru.

Sementara itu, di Sabah Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah penduduk terjejas banjir menurun kepada 505 orang daripada 159 keluarga berbanding 1,040 orang daripada 326 keluarga pada petang tadi.

Penurunan itu disebabkan banjir di daerah Membakut yang telah pulih sepenuhnya, membolehkan 101 mangsa daripada 34 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS pulang ke rumah masing-masing.

Selain itu, jumlah mangsa di Beaufort dan Kinabatangan turut mencatatkan penurunan, dengan 325 orang daripada 112 keluarga masih berada di dua PPS di Beaufort, manakala 180 orang daripada 47 keluarga ditempatkan di dua PPS di Kinabatangan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM