fb fb fb fb fb

Banjir: Peperiksaan sekolah agama di Johor ditangguh

Keadaan banjir di Johor

JOHOR BAHRU, 8 Januari- Peperiksaan Penggal Kedua bagi Tahap 1 dan 2 Sekolah Agama Kerajaan Johor ditangguhkan bagi sekolah yang terjejas banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid menerusi hantaran di Facebook malam tadi berkata, peperiksaan itu bermula 3 Januari lepas dan dijadualkan berlangsung hingga 18 Jan ini.

"Walau bagaimanapun berikutan bencana banjir, sekolah yang terlibat sama ada mengalami banjir atau dibuka sebagai PPS, peperiksaan tersebut ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan oleh pihak Ibu Pejabat Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Johor," katanya. 

Menurut laman web infoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 5,672 penduduk terjejas banjir di Johor setakat 8.30 pagi.

Sebanyak 50 PPS dibuka di enam daerah di negeri itu iaitu di Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang, Pontian, Segamat dan Kulai.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI