fb fb fb fb fb

Banjir: Penternak resah lembu dikebas pencuri

Penternak, Yusuf Mamat mendakwa 20 ekor lembu baka kampung hilang dikebas pencuri pada tahun lalu/FOTO RTM Terengganu

DUNGUN, 27 Disember - Setiap kali tiba musim banjir, seorang penternak lembu sado di Kampung Durian Mentangau dekat sini, dihimpit resah mengenangkan haiwan peliharaannya menjadi buruan pencuri.

Penternak, Yusuf Mamat, 67, menceritakan keresahannya berkata, enam ekor lembu sado ternakannya itu mempunyai nilai tinggi di pasaran. Ini sekali gus menyebabkan haiwan ternakan itu menjadi sasaran pencuri.

Katanya, ketika kejadian banjir pada tahun lalu, dia terpaksa berputih mata apabila kira-kira 20 ekor lembu baka kampung hilang dikebas pencuri dan menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.

"Kebiasannya ternakan lembu akan diletakkan dalam kawasan lebih tinggi dalam ladang kelapa sawit setiap kali ketika musim banjir.

"Kecurian ternakan itu biasanya berlaku pada awal pagi kerana tiada kawalan dan pemantauan ditambah lagi lokasi ladang ternakan yang agak jauh dari rumah," katanya ketika ditemui RTM.

Menurutnya, bagi mengelakkan kes kecurian berulang, keadaan itu memaksa para penternak lain melakukan pemantauan dan kawalan keselamatan secara bergilir-gilir bagi mengelakan haiwan ternakan mereka dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Setiap kali pada musim tengkujuh serta air laut pasang besar, Sungai Paka boleh melimpah dan membanjiri kawasan ternakan lembu.

Semua haiwan ternakan akan dipindahkan dan ditempatkan ke kwasan yang lebih tinggi bagi mengelakkan haiwan tersebut dihanyutkan oleh air.

GRACE AISYAH KEDAYAN