fb fb fb fb fb

Banjir: Lebih 500 penduduk terjejas di Terengganu, 27 orang di Segamat

KUALA TERENGGANU, 11 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu kekal seramai 545 orang terdiri 136 keluarga setakat 6.00 petang tadi. Penduduk terjejas kini ditempatkan di tujuh PPS.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataannya memaklumkan PPS di empat daerah masih kekal beroperasi pada sebelah petang tadi.

Penduduk paling ramai terjejas adalah di daerah Kemaman dengan 278 penduduk daripada 68 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.

Ini diikuti Kuala Nerus 220 penduduk terjejas daripada 54 keluarga, ditempatkan di dua PPS, iaitu SK Tok Jembal 138 orang dan SK Bukit Nenas, 82 orang.


(Jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu kekal seramai 545 orang)

Manakala satu PPS di Kuala Terengganu telah ditutup pukul 2.00 petang tadi, menjadikan hanya satu sahaja PPS yang masih beroperasi di daerah itu.

PPS SK Atas Tol menempatkan seramai 43 orang daripada 13 keluarga, diikuti Setiu melibatkan empat penduduk daripada satu keluarga masih ditempatkan di satu PPS.

Sementara itu di Segamat, Johor, jumlah penduduk terjejas banjir meningkat kepada 27 orang daripada sembilan keluarga, setakat 8.00 malam

Kesemua penduduk terjejas ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, yang dibuka sejak tengahari tadi.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, lokasi terjejas banjir melibatkan Kampung Seberang Batu Badak, dan Kampung Batu Lima.

Sementara itu, paras Sungai Muar, berhampiran Kampung Awat, Segamat berada di paras bahaya, 20.0 meter, manakala Sungai Muar berhampiran Buloh Kasap, berada di paras amaran, 8.87 meter.

Media Baharu