fb fb fb fb fb

Banjir: Jumlah penduduk terjejas pagi ini kekal

FOTO INFOBENCANAJKM

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Bilangan penduduk terjejas di Johor kekal menjadikan 7,619 penduduk masih berlindung di 50 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 6.00 pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, daerah Kota Tinggi kekal paling ramai dengan 4,448 orang daripada 1,203 keluarga di 24 PPS.

Ia diikuti Johor Bahru, 1,710 orang daripada 457 keluarga di 10 PPS; Kluang, 1,163 orang daripada 341 keluarga di lapan PPS; Kulai, 90 orang daripada 24 keluarga; Segamat, 109 orang daripada 29 keluarga; serta Pontian, 22 orang daripada lima keluarga di satu PPS; dan Batu Pahat, 83 orang daripada 24 buah di dua PPS.

Pada masa sama, empat jalan di Kota Tinggi termasuk Jalan Kampung Kelantan, Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Mawai Lama, Jalan Kota Tinggi-Kluang dan satu jalan di Mersing serta satu jalan di Kluang ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Sementara Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mencatatkan Pahang juga kekal 1,610 penduduk daripada 454 keluarga di 23 PPS.

Daerah Pekan menunjukkan 977 orang daripada 261 keluarga di 11 PPS; Rompin, 608 orang daripada 185 keluarga di 11 PPS; dan Maran, 25 orang daripada lapan keluarga di satu PPS.

Amaran cuaca hujan berterusan tahap waspada pula diramal bagi negeri Sarawak melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Sarikei) dan Mukah bermula hari ini sehingga esok.

SITI AISHAH BINTI MD ISA