KUALA NERUS, 27 Disember- Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Jumaat (26 Disember) berpunca daripada hujan lebat melebihi 10 jam dengan taburan lebih 145 milimeter, ditambah lagi faktor fenomena air pasang besar.
Tinjauan Berita RTM di Kampung Pak Tijah, Jalan Tok Jembal mendapati penduduk terkejut dengan kenaikan air yang berlaku begitu pantas dalam tempoh hanya dua jam.
Mereka mengakui berdepan banjir hampir setiap tahun, namun kali ini gelombang ketiga datang terlalu cepat hingga tidak sempat menyelamatkan barang-barang.
Bagaimanapun, penduduk bersyukur kerana berjaya berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan selamat.
“Air datang mengejut pagi itu. Jadi, saya terpaksa campak barang tanpa sempat buat apa-apa. Tak sangka, tengah kering di rumah, buka pintu, air terus masuk. Kami angkat peti dan mesin basuh sambil minta bantuan jiran kerana tak larat nak angkat sendiri. Selepas itu, kami berpindah ke PPS kerana rumah tak boleh diduduki, sejuk dan penat," kata Fatimah Mahmud.
“Tempat utama saya dekat sini, air dari kawasan atas akan berkumpul di sini kerana longkang sepatutnya keluar ke kiri dan kanan, tapi terkumpul dulu di jalan. Air setinggi pinggang. Saya panggil bomba kerana ada masalah jantung dan minta bantuan mereka ambil kami," kata Ahmad Hazlan Abdullah.
“Saya tak berada di rumah masa itu, pergi ke bandar. Balik, air dah tinggi, kalau di dapur setinggi pinggang. Kejadian kali ini memang berlaku setiap tahun," kata Hamidah Abdullah.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri memaklumkan bahawa seramai 468 penduduk masih berada di empat PPS, setakat pukul 12.30 tengah hari tadi.
PPS paling sesak ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, menempatkan 311 penduduk dari beberapa kampung sekitar dan taman perumahan berdekatan.
SK Kompleks Mengabang Telipot pula menempatkan 61 penduduk, SK Chendering 83 orang manakala Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan Dungun kekal dengan 13 penghuni.
Ketika ini, kebanyakan kawasan hanya mendung dengan hujan turun di beberapa lokasi sahaja, membolehkan penduduk pulang ke rumah untuk membersihkan kediaman mereka yang ditenggelami banjir melebihi satu meter.