KOTA KINABALU, 3 Mei – Jumlah penduduk terjejas banjir di Sook meningkat kepada 392 orang daripada 126 keluarga pagi ini berbanding 272 orang daripada 87 keluarga malam tadi, melibatkan empat kampung.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di Dewan Kampung Ansip Tengah yang menempatkan 117 individu daripada 39 keluarga.
Dua lagi PPS ialah Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2 yang menempatkan 206 orang daripada 64 keluarga dan Balai Raya Kampung Molosok Dalit yang menempatkan 69 orang daripada 23 keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Ellron Angin berkata, kerajaan telah mula mengagihkan bantuan sejak awal dengan kerjasama Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sook.
Menurut beliau, langkah pertama adalah menyelamatkan mangsa dan melihat keperluan segera mereka, dan usaha itu telah dijalankan sejak kelmarin.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sook, Valerian Sambi memaklumkan pihaknya telah menyalurkan bantuan makanan berbungkus halal ke semua PPS bagi menampung keperluan harian mangsa banjir.
Seorang penduduk terjejas, Jamitah Rangkas, memaklumkan bahawa kampungnya sering dilanda banjir kerana dikelilingi sungai dan apabila air melimpah, kediaman mereka akan dinaiki air.
Seorang lagi penduduk, Ompohol Ambirau turut menyatakan kebimbangan apabila paras air yang kelihatan surut tiba-tiba kembali naik, menjadikan keadaan lebih berbahaya.
Daerah Sook terletak di pedalaman Sabah, kira-kira 147 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu.