fb fb fb fb fb

Banjir di Baling: KDN gerakkan agensi bagi koordinasi bantuan

(Datuk Seri Hamzah Zainudin/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 6 Julai - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggerakkan semua agensi di bawahnya menerusi Op Bantu Baling bagi mengkoordinasi bantuan dan operasi menyelamat mangsa tragedi banjir di Baling, Kedah.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Op itu diketuai Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad melibatkan pelbagai agensi di bawah KDN antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Jabatan Penjara Malaysia.

Beliau berkata 164 pegawai serta anggota PDRM telah diatur gerak manakala sebanyak 44 aset kenderaan serta peralatan kecemasan PDRM dihantar ke lokasi bencana termasuk empat bot, lapan lori dan tiga kenderaan pacuan empat roda.

“Seramai 46 anggota RELA juga dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat dan ditugaskan di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam satu kenyataan.

Hamzah berkata orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 atau 03-2266 3444 atau 03-2266 3451 atau talian MERS 999.

Insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada kira-kira 4.00 petang kelmarian di Baling telah mengakibatkan tiga nyawa terkorban dengan tiga PPS dibuka bagi menempatkan lebih 1,400 mangsa banjir.


(Banjir yang melanda Baling/Gambar Fail)

 

Media Baharu