ALOR SETAR, 30 November - Prihatin dengan musibah banjir yang menimpa penduduk di beberapa buah negeri termasuk Kedah dan Perlis, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) tampil menghulurkan sumbangan kotak makanan kepada penduduk terjejas banjir.
Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, kotak makanan tersebut telah dihantar ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) sejak banjir melanda.
Baginda berharap sumbangan tersebut dapat mengurangkan beban yang ditanggung penduduk terkesan dengan kejadian banjir.
"Ahli-ahli bulan sabit di negeri yang terjejas turut turun padang. Sepertimana di Selangor, Perlis dan Kelantan, semua mengedarkan barangan sumbangan serta menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas, termasuk bantuan pemindahan dan bekalan air bersih," titah baginda.
Baginda yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah bertitah demikian kepada RTM selepas menyampaikan sumbangan kotak makanan dan beras di PPS Sekolah Kebangsaan Taman Uda di sini.
Selain kotak makanan, BSMM turut menghantar sukarelawan bagi memberi sokongan moral dan khidmat nasihat kesihatan mental kepada penduduk yang ditempatkan di PPS.
BSMM turut berkolaboratif bersama pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta dengan menggerakkan sukarelawan bagi membantu membersihkan rumah penduduk yang ditenggelami air.
Baginda berharap, para sukarelawan dapat turun padang membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas teruk khususnya mereka yang kurang bernasib baik.
"Kita mahu melihat lebih ramai lagi sukarelawan tampil ke hadapan dan memberi khidmat kepada warga yang terjejas dan jika jiran tak terjejas membantu mereka yang terjejas, membersihkan rumah, tolong angkat barang dan banyak selut, tanah, air perlu digunakan untuk mencuci rumah-rumah tersebut.
"Dan setengahnya adalah (rumah) warga emas, ibu tunggal ataupun orang kurang upaya," titah baginda.
