fb fb fb fb fb

Banjir Batu Pahat: 82 keluarga dipindahkan ke PPS

Foto APM

BATU PAHAT, 5 April – Jumlah penduduk terjejas akibat banjir kilat yang melanda Kampung Baharu, di sini meningkat kepada 234 orang setakat pukul 4 petang ini, berbanding 99 orang yang direkodkan sebelum ini.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, kesemua penduduk terjejas daripada 82 buah keluarga kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading yang dibuka pada pukul 2 petang tadi.

Sementara itu, paras air beberapa sungai utama di daerah itu turut mencatatkan bacaan yang membimbangkan.

Sungai Senggarang berada pada paras amaran dengan bacaan 3.32 meter, manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah berada pada paras waspada 5.10 meter.

Sungai Batu Pahat pula direkodkan pada paras waspada 2.30 meter di lokasi pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Batu Pahat.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor terus menjalankan pemantauan berterusan di kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan penduduk dan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN