fb fb fb fb fb

Banjir: 278 keluarga Orang Asli di lima perkampungan terjejas

Banjir di Gua Musang jejaskan lima perkampungan Orang Asli/foto RTM

GUA MUSANG, 17 Disember - Seramai 278 keluarga Orang Asli membabitkan 1,093 penduduk di lima buah perkampungan di sini terjejas akibat bencana banjir gelombang kedua bermula sejak Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Mohd Faedyzal Mohamed berkata, komuniti kampung berkenaan terperangkap di kediaman selepas jalan perhubungan ditenggelami air sungai.

Menurutnya, antara kampung yang terlibat ialah Kampung Kuala Koh, Kampung Aring 5, Kampung Bering Lama, Kampung Pasir Linggi dan Kampung Machang, Pos Lebir.

"Keseluruhan dalam lima bah kampung, yang merangkumi 278 keluarga.

"Nasihat JAKOA kepada penduduk Orang Asli yang terjejas akibat banjir sentiasa waspada dengan keadaan semasa dan sentiasa patuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa hubungi pihak JAKOA kalau ada kecemasan ketika bencana ini berlaku." katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Lebir, Jamlus Musa memaklumkan, kira-kira 20 pelajar sekolah terpaksa menggunakan perahu mengharungi air banjir untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi sejak Ahad lalu.

"Bermula 14 haribulan, sudah tiga hari terjejas banjir. Paras air semakin menurun sedikit dari semalam.

"Semalam meningkat, pagi ini menurun sedikit. Air mencecah dadah. Pagi tadi murid ke sekolah naik perahu."

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka melanda beberapa negeri sehingga esok.

Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd. Hisham
Mohd. Anip memaklumkan bahawa hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di seluruh negeri Kelantan dan Terengganu.

WAN ROSMA BT RAMLI