fb fb fb fb fb

Banjir: 1,168 penduduk terjejas di Johor malam ini

FOTO INFOBENCANAJKM

KUALA LUMPUR, 5 Januari- Seramai 1,168 orang daripada 305 keluarga masih terjejas banjir yang ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 10.00 malam ini.

Menerusi portal InfoBencanaJKM, kesemua penduduk terjejas itu direkodkan bagi negeri Johor sahaja melibatkan daerah Kota Tinggi, Mersing, Kluang dan Johor Bahru.

Paling ramai dicatatkan di daerah Kota Tinggi melibatkan 764 orang di tujuh PPS iaitu 243 orang di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana (243), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota (205), Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi (185), Dewan Muafakat Pasak Indah (57), Dewan Kampung Baru Sungai Mas (19), SK Gembut (37) dan SK Sungai Telor (18).

Ia diikuti daerah Mersing iaitu seramai 277 orang di dua PPS membabitkan SK Air Papan (145) dan SK Tenglu (132).

Sementara daerah Kluang melibatkan 84 orang yang berlindung di Dewan Serbaguna Kahang, manakala 43 orang di SK Basir Ismail (Nam Heng) di Johor Bahru.

Sementara itu, tiga jalan di Mersing ditutup untuk semua kenderaan melibatkan Mawai Lama, Kampung Orang Asli Peta dan jalan masuk Tenggaroh Timur.

Jalan Tanjung Sedili pula hanya dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

SITI AISHAH BINTI MD ISA