ALOR SETAR, 5 Oktober - Balai Polis Langgar di sini tidak dapat menerima aduan buat sementara waktu susulan terjejas akibat banjir.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Siti Nor Salawati Saad berkata, orang ramai masih boleh melakukan laporan di balai polis berdekatan.
"Balai Polis Langgar tidak ditutup, namun laporan polis tidak dapat diterima berikutan Sistem Laporan Polis Bersepadu (IPRS) terpaksa ditutup sementara akibat banjir," katanya ketika dihubungi RTM.
ACP Siti Nor Salawati turut meninjau keadaan semasa di balai itu serta memberi semangat dan sokongan moral kepada anggota bertugas.
Sempena lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan makanan dari Yayasan Sultanah Bahiyah kepada anggota balai yang bertugas.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Setar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Sultanah Bahiyah atas sumbangan yang diberikan dan komitmen berterusan dalam menyokong kebajikan warga PDRM Kota Setar.