SEREMBAN, 5 Oktober - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan maut selepas dihempap tiang konkrit pagar rumahnya di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seremban, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Mohamad Hatta Che Din menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku sekitar pukul 7.15 malam ketika mangsa sedang bermain bersama kakaknya di halaman rumah.
“Ketika mereka bermain, tiang pagar yang tidak kukuh itu tiba-tiba tumbang dan menghempap mangsa. Ibu kanak-kanak tersebut segera membawanya ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 9.14 malam,” katanya.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Rembau mendapati punca kematian disebabkan kecederaan kepala akibat hentakan objek berat, dan tiada kecederaan lain dikesan.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan struktur binaan di kediaman masing-masing berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.