fb fb fb fb fb

Bajet 2023: Permohonan kerajaan Johor diharap dipertimbang sewajarnya - Onn Hafiz

ISKANDAR PUTERI, 6 Februari- Permohonan Kerajaan Johor dalam Belanjawan 2023 diharap dapat dipertimbangkan sewajarnya oleh Kementerian Kewangan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut memohon peruntukan yang diumum dalam Bajet 2023, Oktober tahun lepas dapat dikekal dan ditambah supaya negeri itu tidak ketinggalan.

"Di peringkat Johor kita risau kalau bajet kami dipotong kerana kita maklum tahun ini mencabar bukan saja untuk Malaysia tetapi dunia, jadi kalau bajetnya kurang daripada sebelum ini saya risau ada 'domino effect' dari segi implikasi orang berbelanja di bawah," katanya.

(Datuk Onn Hafiz Ghazi)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Jelas Onn Hafiz, Kementerian Kewangan perlu memperjuangkan pulangan setimpal kepada kerajaan negeri dalam bentuk perbelanjaan pembangunan.

Ini kerana, Johor kekal sebagai destinasi pelaburan utama negara selepas mencatatkan pelaburan paling tinggi bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu iaitu sebanyak RM63.9 bilion.

Antara yang dimohon kerajaan negeri ialah menambah lorong Lebuhraya PLUS Yong Peng Utara-Senai Utara; pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru Expressway; pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2; Projek-projek Bekalan Air negeri; Rancangan Tebatan Banjir; naik taraf sekolah; insentif untuk pelabur serta projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi dan projek Sistem Transit Rapid.

Media Baharu