fb fb fb fb fb

Baitulmal MAIK korban enam ekor lembu tahun ini

Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan hari ini sempena Aidiladha

POKOK SENA, 18 Jun- Sebanyak enam ekor lembu dikorbankan oleh pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) tahun ini yang memberi manfaat kepada kira-kira 500 penerima termasuk golongan asnaf dan kurang berkemampuan di sekitar daerah di sini.

Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua MAIK, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, penyerahan daging korban itu merupakan acara tahunan yang diluluskan oleh Baitulmal MAIK dan diadakan di setiap masjid di negeri berkenaan secara bergilir-gilir.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Daging Korban dan Sumbangan Baitulmal MAIK bagi Tahun 1445H/2024M di Masjid Al Kauthar, Kampung Bukit Payong, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Tengku Sarafudin turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada 100 penerima terdiri daripada ibu tunggal, fakir miskin dan pesakit kronik. Mereka menerima wang tunai sebanyak RM400 setiap seorang.
 
Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 150 orang kanak-kanak yang hadir, serta sumbangan berjumlah RM10,000 kepada pihak Masjid Al-Kauthar.
 
"Bantuan seperti hari ini adalah bermanfaat kepada golongan memerlukan. Bantuan ini bukan pihak Baitulmal MAIK sahaja yang salurkan... pihak lain pun ada beri seperti pusat zakat, jabatan kebajikan dan jabatan lain yang berkenaan.

"Kita patut bantu golongan memerlukan (termasuk) ketika bencana... beri bantuan, bagi wang, beras dan lain-lain lagi," titah baginda.
 
Selain agihan daging korban kepada masjid-masjid terpilih, Baitulmal MAIK turut mempelbagaikan program bantuan kepada masyarakat di negeri itu.

Antaranya adalah bantuan khemah niaga, kiosk niaga, bantuan motorsikal kepada orang kurang upaya (OKU) atau golongan memerlukan, bantuan perubatan, bantuan bencana alam dan lain-lain bantuan bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan memerlukan.

SITI AISHAH MD ISA