KUANTAN, 9 Julai - Sebanyak RM950,000 diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi Projek Bantuan Baik Pulih Rumah di Bandar untuk tahun ini khususnya di Pahang, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Akmal berkata, projek baik pulih itu melibatkan 63 rumah yang mengalami pelbagai kerosakkan dengan setiap Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima bantuan kadar maksimum RM15,000.
"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada RM40 juta yang diluluskan seluruh negara sebelum ini dengan sasaran 2,543 rumah rumah daif di bandar akan dibaik pulih tahun ini.
"Pemilihan rumah daif dalam kawasan bandar untuk bantuan ini berdasarkan beberapa kriteria termasuk KIR dalam golongan B40 dan rumah atas tanah hak milik.
“Ketika ini kos pemulihan bagi setiap rumah kita hadkan RM15,000, cuma tahun depan kita telah mendapat kelulusan kerajaan untuk menaikan kepada RM20,000 bagi membolehkan baik pulih dengan lebih menyeluruh," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di sini hari ini.
(Akmal Nasrullah berada di Kuantan melihat beberapa rumah yang akan
dibaik pulih bawah Program Baik Pulih Rumah di Bandar/FOTO FB Akmal Nasrullah)
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang.
Katanya, program itu juga turut melibatkan rumah yang telah rosak disebabkan faktor usia atau bencana namun masih ekonomik untuk dibaiki.
"Kerja pembaikan melibatkan komponen-komponen asas rumah seperti bumbung, dinding, lantai dan tingkap ini akan disalurkan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.