fb fb fb fb fb

ATM pohon pertimbangan peruntukan tambahan bagi tujuan selenggara aset ketika misi bantuan banjir

GAMBAR HIASAN

TANAH MERAH, 5 Mac- Kementerian Kewangan dipohon supaya mempertimbang penyediaan peruntukan tambahan bagi tujuan menyelenggara aset pertahanan yang turut digunakan
ketika misi bantuan banjir.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, ini kerana kebanyakan aset yang digunakan ketika misi berkenaan adalah merupakan aset sama bagi tugasan anggota tentera menjaga ketenteraman negara di lapangan.

Jelas beliau, setakat ini pihak ATM tidak mempunyai aset khusus bagi kegunaan untuk menguruskan banjir.

"Peralatan kita tidak begitu mencukupi kalau banjir berskala besar walau bagaimanapun aset - aset tentera yg ada masih boleh membantu, kalau berlaku apa - apa tentera di panggil sebab itu ATM kena perlu dapat lebih banyak peruntukan,"katanya.

Beliau ditemui media pada Program Jiwa Murni (PJM) Sempena Program Pemimpin dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bersama Rakyat di Felda Kemahang, Tanah Merah.

Hadir sama, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha'ari Kamis.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ikmal Hisham berkata, perkara tersebut perlu dibawa ke peringkat pihak bertanggungjawab, memandangkan ia memerlukan bajet untuk penyelenggaraan yang sewajarnya bagi penugasan bencana alam.

(Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz ditemui dalam sidang media selepas Program Jiwa Murni (PJM) Sempena Program Pemimpin dan ATM Bersama Rakyat di Felda Kemahang)

 

Pada masa sama, beliau menjelaskan anggota ATM sentiasa komited untuk membantu penduduk yang ditimpa musibah termasuk banjir.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Ikmal Hisham berkata, satu lagi usul dicadangkan dalam Parlimen baru-baru ini adalah mengenai kediaman tentera yang mana kebanyakan kuarters sudah uzur dan memerlukan baik pulih.

Mengambil contoh kuarters Kem Terendak di Melaka dan Port Dickson di Negeri Sembilan yang sudah daif, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, kediaman yang selesa memainkan peranan sebagai sokongan moral kepada anggota pasukan keselamatan itu.

Menurutnya, sebagai pasukan yang sentiasa dikerah menjalankan apa sahaja tugasan, persekitaran yang kondusif sangat diperlukan oleh anggota tentera.

Media Baharu