(Saravanan ditemui pemberita pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Aspirasi Keluarga Malaysia di Mersing)
MERSING, 5 Mac - Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia mendapat sambutan baik daripada rakyat terutama golongan belia yang memilih bidang E-ekonomi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata setakat ini 221,000 peluang pekerjaan berjaya ditawarkan sekali gus melebihi sasaran 200,000 peluang pekerjaan tahun lalu.
"Ini adalah usaha kita untuk rakyat mendapatkan pekerjaan dan ia akan menjadi aspirasi seluruh Keluarga Malaysia, memberi kedudukan selesa dan menjamin warga Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Kerjaya Jamin Kerja Aspirasi Keluarga Malaysia di Mersing, Johor.
Kadar pengangguran negara kini berada pada paras 4.2% turun daripada 5.3% pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.
Sementara itu, berdepan cabaran pandemik COVID-19, penganjuran Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dilihat tepat pada masanya.
Inisiatif tersebut membuka peluang kepada penganggur, graduan dan mahasiswa tahun akhir pengajian meninjau potensi kerjaya.
(Nurul Saghira Rashiddin)
"Karnival sebegini memudahkan lagi kami para graduan untuk mendapatkan pekerjaan. Ia juga menjimatkan kos kerana kami tidak perlu ke tempat temuduga. Saya berharap sangat karnival seperti ini dapat diadakan setip tahun kerana ramai lagi graduan akan datang mencari pekerjaan," kata Nurul Saghira Rashiddin.
(Khairul Asraff Haikal Hairol Nizam)
"Penganjuran karnival seumpama ini sangat membantu terutama pencari kerja dan berharap ia dapat diteruskan pada masa depan. Sekarang ini saya masih belajar dan karnival seperti ini dapat membantu saya mencari pekerjaan selepas ini," menurut Khairul Asraff Haikal Hairol Nizam.