fb fb fb fb fb

ATM atur gerak pegawai, anggota di pos-pos Sabah, perkukuh keselamatan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengatur gerak pegawai dan anggota di pos-pos ATM di Sektor Kudat, Sandakan, Lahad Datu dan Semporna; bagi mengukuhkan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan, sebuah pos ATM dilengkapi radar pengawasan termasuk Tim Tindak Pantas juga tersedia di Pulau Bakungan Kecil di dalam kawasan Libaran, bertujuan memperkukuh kehadiran dan kemudahan ATM.

Ia sekali gus, sebagai langkah berjaga-jaga dalam menangani ancaman maritim dan pencerobohan siber yang masih berterusan di kawasan berkenaan.

"Selain daripada penugasan pihak ATM di kawasan tersebut, kawalan keselamatan dan rondaan maritim turut dilaksanakan oleh Agensi Penguatkkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi penguatkuasaan Persekutuan/Negeri bawah penyelarasan bersama EssCOM bagi menangani sebarang bentuk ancaman maritim, aktiviti penyeludupan dan pencerobohan anasir luar," katanya.

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkenaan perancangan kementerian bagi memperkukuh kehadiran dan kemudahan ATM di pantai timur Sabah termasuk di kawasan Libaran susulan ancaman maritim dan pencerobohan siber masih berterusan.

Dewan juga diberitahu, berkenaan senggaraan korektif bernilai lebih RM8 juta telah dilaksanakan pada tahun 2024, merangkumi penambahbaikan infrastruktur sivil, elektrik dan mekanikal, jana kuasa, pembinaan dan pemantapan kubu-kubu serta penaiktarafan peralatan keselamatan di pos-pos penempatan kawalan keselamatan. 

"Manakala bagi tahun 2025 pula, sejumlah RM6,900,000 telah diperuntukkan bagi meningkatkan lagi keupayaan di semua sektor operasi Op Pasir, merangkumi aspek logistik, kemudahan pertahanan, dan sokongan operasi bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum.

"Usaha peningkatan dan penambahbaikan serta penaiktarafan ini dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan melalui peruntukan senggaraan korektif sedia ada setiap tahun bagi memberi keselesaan kepada anggota keselamatan yang bertugas demi mempertahankan integriti wilayah dan kedaulatan negara serta memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat sentiasa dalam keadaan baik," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI