KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Aspirasi Malaysia 2040 yang diperkenal dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilihat sebagai pendekatan jangka panjang negara.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antrabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata ia bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi, pembangunan teknologi serta memupuk masyarakat yang lebih terbuka dan inovatif.
Selain inisiatif yang dilaksana kerajaan, kebergantungan kepada pelaburan swasta sangat digalakkan bagi menjayakan aspirasi berkenaan.
“Yang penting, apabila kita menjadi masyarakat inovatif yang menghasilkan produk sendiri, istilah yang tepat adalah ‘Made by Malaysia’, bukannya ‘Made in Malaysia’. ‘Made in Malaysia’ hanya bermaksud produk dihasilkan di Malaysia, tetapi pengeluarannya mungkin oleh syarikat asing.
‘Made by Malaysia’ menunjukkan produk itu dihasilkan sepenuhnya oleh orang Malaysia. Inilah yang dihasratkan kerajaan, terutamanya bagi produk yang memerlukan pelaburan besar untuk inovasi dengan teknologi terkini termasuk AI, ekonomi digital, produk digital, serta sektor yang berkaitan dengan alam sekitar dan kenderaan elektrik," kata Profesor Dr. Mohd Azizuddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Jelasnya, kejayaan Aspirasi Malaysia 2040 itu tidak hanya bergantung kepada perancangan dasar kerajaan semata-mata, malah perlu selari dengan perubahan pemikiran yang lebih terbuka dalam menerima pembaharuan.
“Dalam usaha membangunkan negara, ia memerlukan penyertaan semua kaum dan pihak. Saya berharap aspirasi ekonomi dan dasar yang dilaksanakan dapat diaplikasikan oleh seluruh rakyat.
Dengan cara itu, persepsi rakyat dapat berubah menjadi lebih inovatif dan terbuka, serta tidak kolot dalam menangani isu-isu berkaitan perkauman dan sebagainya," tambahnya.