fb fb fb fb fb

ASEAN tidak berat sebelah, terus utamakan kepentingan serantau

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim/ PMO

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN tidak mengamalkan sikap berat sebelah terhadap mana-mana kuasa besar, termasuk China, sebaliknya kekal berpegang teguh kepada prinsip pemusatan ASEAN (ASEAN centrality) yang menekankan kepentingan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di rantau ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa ruang kerjasama sentiasa terbuka, termasuk dengan Amerika Syarikat, terutamanya dalam isu berkaitan tarif dan perdagangan.

“Apakah pendirian ASEAN? Pemuatan ASEAN. Apakah fokus ASEAN? Kebajikan dan kesejahteraan rakyat, hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

"Jika ia melibatkan kerjasama dengan China? Ya, kita akan laksanakannya. Amerika Syarikat? Ya, kita perlu bekerjasama. Malaysia khususnya telah menjadi hab semikonduktor, dengan lebih 60 peratus eksport negara adalah ke Amerika Syarikat”, ujarnya dalam sidang media penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini.

Beliau menjawab persoalan berhubung pendirian diplomatik ASEAN yang dikatakan lebih cenderung kepada China, di tengah-tengah pertembungan kuasa besar.

Dalam pada itu, ASEAN menegaskan komitmennya untuk membantu Myanmar mencapai penyelesaian aman dan berkekalan. Konsensus Lima Perkara kekal sebagai rujukan utama dalam membantu menangani krisis politik di negara tersebut.

Datuk Seri Anwar berkata, usaha perdamaian di Myanmar kini mencapai kemajuan apabila kedua-dua pihak yang terlibat dalam perbincangan untuk melanjutkan gencatan senjata.

"Malah dalam isu Myanmar, terdapat konsensus untuk terus berinteraksi. Kini kita telah sampai ke tahap dimana kedua-dua pihak sedang menjalankan rundingan, walaupun pada peringkat yang rendah, dengan fokus kepada lanjutan gencatan senjata.

"Seterusnya, bantuan kemanusiaan dapat disalurkan, diikuti dengan perbincangan awal yang akan dijalankan mengikut parameter umum di bawah Konsensus Lima Perkara", katanya.

Selain itu, Timor-Leste bakal diterima sebagai anggota penuh ASEAN pada Sidang Kemuncak yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

Perdana Menteri memaklumkan bahawa keputusan penyertaan itu telah dicapai secara konsensus oleh semua negara anggota ASEAN.

Beliau yang juga Pengerusi Persidangan ASEAN turut memaklumkan Malaysia bersama negara-negara anggota lain terus komited menyokong proses integrasi Timor-Leste ke dalam ASEAN.

"Keputusan yang dicapai adalah jelas, iaitu untuk bersetuju bahawa Timor-Leste akan menjadi dan diterima sebagai ahli penuh pada sesi seterusnya pada bulan Oktober.

"Namun begitu, ia masih tertakluk kepada satu atau dua tindakan atau pembaharuan yang perlu dilaksanakan, khususnya bagi memenuhi beberapa syarat di bawah tonggak ekonomi.

"Tetapi keputusan dan konsensusnya adalah bahawa kita akan melakukan apa sahaja yang perlu bagi memastikan mereka menyertai ASEAN sebagai ahli penuh menjelang Oktober", kata Datuk Seri Anwar.

 

ROSLINA BINTI DIN