fb fb fb fb fb

ASEAN perlu selaras strategi politik, keselamatan dan ekonomi

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pegawai Kanan ASEAN–Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Oktober -Koordinasi antara Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) perlu diperkukuh dengan penyelarasan lebih rapi bagi menghadapi cabaran semasa rantau ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, perkara itu menjadi tumpuan dalam mesyuarat bersama pegawai kanan kedua-dua komuniti berkenaan.

“Petang tadi, kami menerima taklimat daripada Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) mengenai situasi geopolitik dan geoekonomi di rantau ini serta di peringkat antarabangsa.

Ia turut menyentuh cabaran, risiko dan peluang yang dihadapi ASEAN, sekali gus menuntut kerjasama lebih erat untuk menangani cabaran dan memanfaatkan peluang yang ada,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Bersama Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (SEOM) di sini, hari ini.

Jelas beliau, ASEAN perlu mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh daya tahan rantau ini dalam menghadapi tekanan global.

Menurutnya, Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 25 Oktober ini akan membincangkan laporan pembentangan AGTF.

Ia dijangka memperincikan hala tuju baharu serta langkah penyelarasan antara dua komuniti utama ASEAN.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN