fb fb fb fb fb

ASEAN gesa Myanmar patuhi Konsensus Lima Perkara sebelum pilihan raya

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Mei- ASEAN gesa Myanmar patuhi sepenuhnya "Konsensus Lima Perkara" sebelum mengadakan pilihan raya.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, tiada guna Myanmar mengadakan sebarang bentuk pilihan raya jika ia hanya disertai sebahagian kecil rakyatnya.

Menurut beliau, ASEAN secara tegas menyeru agar Myanmar mematuhi sepenuhnya Konsensus Lima Perkara yang telah dipersetujui sebelum sebarang proses pilihan raya dijalankan.

"Tiada makna mengadakan pilihan raya jika hanya sebahagian rakyat Myanmar terlibat. Ia hanya memburukkan keadaan.

"Bagi ASEAN, keutamaan adalah pematuhan penuh terhadap Konsensus Lima Perkara oleh kerajaan Myanmar.

"Pilihan raya yang sekadar mencuci imej di mata dunia tidak memberi sebarang makna. Jika Myanmar ingin menjadi anggota ASEAN yang bertanggungjawab, mereka perlu sehaluan dengan konsensus ini.

ASEAN pula sentiasa bersedia membantu dengan apa jua cara demi mencapai keamanan dan kestabilan,” tegasnya dalam satu sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian tegas ASEAN dalam usaha mengembalikan keamanan dan kestabilan di Myanmar, susulan krisis politik yang berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

Sementara itu, dalam usaha membina mekanisme penyelesaian jangka panjang terhadap krisis Myanmar yang semakin meruncing, ASEAN sedang menimbang cadangan pelantikan seorang utusan khas tetap.

Ia satu langkah baik dan membuka jalan ke arah diplomasi yang lebih berstruktur.

Datuk Seri Mohamad Hasan turut menekankan, krisis Myanmar bukan lagi isu domestik, sebaliknya menimbulkan kesan serantau seperti pemerdagangan manusia, jenayah rentas sempadan dan krisis pelarian yang memberi tekanan kepada negara jiran, termasuk Malaysia.

"Kita kini terpaksa berdepan dengan jenayah rentas sempadan, pengubahan wang haram melalui penipuan tawaran pekerjaan, jutaan orang yang kehilangan tempat tinggal, serta krisis pelarian yang semakin meruncing.

"Malaysia sendiri sedang menampung seramai 200,000 pelarian Rohingya. Kami tidak berniat untuk mencampuri urusan dalaman mereka, namun isu ini kini telah menjadi masalah serantau yang melibatkan ASEAN," katanya.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello