KUALA LUMPUR, 25 Mei– ASEAN tidak pernah bersikap teragak-agak dalam menyuarakan pendirian terhadap isu Palestin, sebaliknya terus komited memperjuangkan keadilan untuk rakyat wilayah yang dizalimi itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan sedemikian bagi menepis tanggapan bahawa ASEAN lambat bertindak dalam membawa isu berkenaan ke meja perbincangan rasmi.
Menurut beliau, mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang berlangsung hari ini telah membuka ruang penting untuk membawa isu Palestin ke peringkat lebih tinggi dalam kalangan pemimpin serantau.
"Dalam ucapan pembukaan saya, ASEAN telah ditegaskan untuk tampil bersuara, bukan berdiam diri terhadap penindasan, khususnya yang berlaku ke atas rakyat Palestin.
"Kami sedang mengatur langkah untuk memastikan perkara ini diangkat ke sidang kemuncak pemimpin esok," katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Mohamad menyentuh berkenaan status permohonan Ukraine untuk menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN.
Katanya, isu itu masih dalam proses penelitian dan perbincangan lanjut akan diteruskan di peringkat tertinggi.
"Kami telah meminta Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) untuk melaksanakan tindakan susulan yang sewajarnya bagi membolehkan perkara ini dikaji secara menyeluruh," jelasnya.