fb fb fb fb fb

ASEAN Friendship Concert 2025 tonjol keharmonian serantau melalui muzik

Sesi latihan AFC 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media

KUALA LUMPUR, 16 Oktober -Kerjasama seni dan budaya serantau kembali menyerlah menerusi ASEAN Friendship Concert 2025 (AFC 2025) yang menghimpunkan artis dari 11 negara ASEAN di atas satu pentas.

Menjelang konsert utama hujung minggu ini, latihan giat dijalankan bagi memastikan setiap persembahan menonjolkan keunikan budaya masing-masing.

Pengarah Muzik Orkestra RTM, Datuk Mokhzani Ismail berkata, cabaran terbesar ialah mengolah kepelbagaian muzik negara ASEAN agar sesuai dipersembahkan tanpa menjejaskan identiti asal.

“Kami menerima pelbagai demo lagu dari Vietnam, Laos, Brunei, Singapura, Indonesia, Filipina dan lain-lain. Cabarannya ialah pendekatan muzik mereka berbeza, termasuk melodi, struktur dan penggunaan alat tradisional.

Namun dengan kekuatan 40 pemuzik orkestra, kami menggubah semula lagu-lagu itu supaya sesuai tetapi kekal dengan identiti asal,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan konsert berkenaan di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.

Beliau menambah, lagu daripada Laos yang sarat elemen tradisional memerlukan penelitian bersama artis dan komposer, manakala lagu Thailand serta Singapura lebih moden.

Lagu Filipina pula berentak klasik yang menuntut olahan berhati-hati agar kekal autentik.

Selain gubahan lagu tradisi dan moden, konsert kali ini turut mempersembahkan karya baharu ciptaan Datuk Mokhzani sendiri.

“Kita akan ada lagu istimewa ASEAN yang saya cipta sejak April lalu bertajuk Our Land Our Home. Untuk konsert ini pula, saya hasilkan satu lagi lagu baharu, The Land We Love, dinyanyikan Aina Abdul bersama semua penyanyi ASEAN.

Ini mungkin kali pertama mereka bergabung dengan Orkestra RTM dalam persembahan besar ASEAN,” katanya.

Artis Thailand, Velentina Ploy, meluahkan rasa bangga dan teruja kerana dapat mewakili negaranya di pentas berprestij itu.

“Saya sangat berbangga dan berbesar hati kerana berpeluang datang ke sini sebagai wakil Thailand.

Ia sesuatu yang akan saya kenang selamanya, dan saya berharap dapat menampilkan sedikit keunikan budaya Thailand di atas pentas,” katanya.

Sementara itu, artis Brunei, Dila Junaidi berkata, konsert ini membuka ruang kolaborasi dengan penyanyi terkenal ASEAN, khususnya dari Malaysia.

“Malaysia ada ramai penyanyi besar seperti Aina Abdul, Aisyah Retno dan Hael Husaini.

Kalau ada peluang berkongsi pentas dengan mereka, itu pasti pengalaman yang amat berharga,” katanya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN