WASHINGTON, 24 Julai-Amerika Syarikat mengumumkan telah menjemput pihak yang terlibat dalam konflik di Sudan untuk mengadakan rundingan gencatan senjata di Switzerland bulan depan.
Setiausaha Negara Antony Blinken berkata Washington telah menjemput tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera untuk memulakan rundingan bermula 14 Ogos depan.
"Amerika Syarikat tetap komited untuk bekerjasama dengan pihak terlibat untuk menamatkan perang yang dahsyat ini," kata Blinken dalam satu kenyataan.
Komander RSF, Mohamed Hamdan Daglo yang telah berperang dengan tentera selama lebih setahun berkata dia menyambut baik jemputan berkenaan dan komited menyertai rundingan terbabit.
"Saya mengisytiharkan penyertaan kami dalam rundingan gencatan senjata akan datang pada 14 Ogos 2024, di Switzerland," tulisnya di X.
Sebelum ini, rundingan yang sama di Arab Saudi baru-baru ini gagal menamatkan pertempuran yang menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, kelaparan dan menyebabkan sebahagian besar ibu kota Khartoum dalam runtuhan.
Beberapa percubaan oleh beberapa negara untuk menjadi pengantara termasuk Kesatuan Afrika, gagal untuk membawa pihak yang bertelagah ke meja rundingan.
Konflik yang berlaku di antara Tentera Sudan di bawah pimpinan Abdel Fattah al-Burhan dan RSF yang diketuai oleh bekas timbalannya Daglo telah mengakibatkan puluhan ribu kematian. Manakala lebih 10 juta orang melarikan diri daripada Sudan menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
"Rundingan di Switzerland bertujuan menghentikan keganasan di seluruh negara untuk membolehkan akses kemanusiaan kepada semua yang memerlukan.
"Selain itu, rundingan berkenaan juga dapat membangunkan mekanisme pemantauan dan pengesahan yang mantap untuk memastikan pelaksanaan sebarang perjanjian," kata Blinken.
Rundingan tersebut akan dikendalikan oleh AS bersama-sama Arab Saudi merangkumi Kesatuan Afrika, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, dan Pertubuhan Bangsa Bersatu sebagai pemerhati, kata Jabatan Negara Amerika Syarikat.-AFP