KUALA LUMPUR, 15 Disember - Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat (ART) tidak terpakai dalam perjanjian Malaysia dengan negara anggota ASEAN termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Serantau (RCEP).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong menjelaskan Artikel 2.7 dalam ART menjadi antara keseluruhan komitmen Malaysia dalam mendapatkan kestabilan tarif 19 peratus ke atas produk perkhidmatan eksport negara dan manfaat tambahan lain.
“Artikel 2.7 ART ini tidak akan secara automatik melanjutkan komitmen perkhidmatan Malaysia di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) kepada firma Amerika Syarikat.
“Sebaliknya ia menekankan layanan yang konsisten dengan perjanjian sedia ada diteruskan selaras dengan apa yang dilaksanakan Malaysia sekarang sebagai contoh sektor perkhidmatan informasi teknologi IT tanpa perlu buka ruang akses baharu seperti dipersetujui FTA serantau tersebut ,” katanya.
Tambah beliau, artikel 2.7 ART turut memastikan sektor-sektor strategik negara kekal terpelihara memandangkan perjanjian-perjanjian sedia ada seperti CPTPP dan RCEP mempunyai syarat had dan pengecualian yang dirangka secara telitii bagi melindungi kepentingan Malaysia.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Low Kian Chuan berhubung sama ada artikel 2.7 ART secara automatik melanjutkan komitmen perkhidmatan Malaysia di bawah CTPPP dan RCEP kepada firma AS tanpa akses timbal balas di Dewan Negara.