APMM perhebat penguatkuasaan, bendung ketirisan diesel

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menegaskan kesediaannya menggalas peranan sebagai peneraju sektor perairan dalam usaha membanteras ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan penguatkuasaan tegas, terancang dan bersepadu bersama agensi bagi menutup ruang ketirisan serta membanteras penyeludupan dan pemindahan minyak haram.
  • Sokongan penuh kepada langkah Kerajaan MADANI memperkukuh kawal selia Skim Kawalan Diesel Bersubsidi dan tindakan tegas terhadap penyalahgunaan subsidi.
  • Pelaksanaan Ops Tiris 4.0 di Sabah, Sarawak dan Labuan meningkatkan koordinasi agensi dan keberkesanan operasi lapangan maritim.
  • Pemantauan strategik diperkasa dengan teknologi satelit, kerjasama serantau, rondaan risikan; orang ramai diseru salur maklumat aktiviti mencurigakan.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas, terancang dan bersepadu bersama agensi berkaitan bagi menutup ruang ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

“Maritim Malaysia komited untuk memperkukuh dan memperhebat operasi penguatkuasaan di perairan negara, khususnya dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta pemindahan minyak secara haram melalui kaedah kapal ke kapal (ship to ship -STS) termasuk kegiatan bunkering tidak sah di perairan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, APMM turut menyokong langkah tegas Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kawal selia serta penguatkuasaan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang diumumkan sebelum ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan kad fleet terhadap pihak yang menyalahgunakan subsidi diesel di bawah SKDS.

Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata pengukuhan kawal selia aktiviti bunkering serta pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu di Sabah, Sarawak dan Labuan akan meningkatkan keberkesanan operasi lapangan.

“Pendekatan operasi bersepadu melalui Ops Tiris 4.0 ini akan mempertingkatkan koordinasi antara agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara secara menyeluruh,” ujarnya.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, APMM merekodkan rampasan bahan api hampir RM6.5 juta melibatkan 13,290 liter diesel dan 247,333 liter petrol di perairan negara.

Katanya, pencapaian itu membuktikan kesungguhan serta keupayaan APMM dalam mengekang ketirisan bahan api, selain usaha berkenaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, pemantauan strategik turut diperkasa melalui penggunaan teknologi satelit, kerjasama serantau serta rondaan dan risikan di kawasan panas yang dikenal pasti sebagai laluan utama penyeludupan.

Tegasnya, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi kerajaan dan setiap pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tanpa pengecualian.

Orang ramai diseru agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri berhampiran atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.