KUALA LUMPUR, 26 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru agar himpunan pesawah dari seluruh negara yang dilaporkan akan berlangsung di Putrajaya hari ini, untuk diadakan pada masa dan situasi yang lebih sesuai.
Ini bagi memastikan himpunan tersebut tidak mengganggu perjalanan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia.
“Saya tidak menghalang jika ada pertemuan atau mahu menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian. Silakan, tetapi tetapkan masa yang sesuai.
"Namun, saya tidak bersetuju sama sekali jika ada perhimpunan yang boleh mengganggu perjalanan dan urusan rasmi negara, terutamanya yang melibatkan negara sahabat seperti lawatan Presiden Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Syarahan Perdana Prof Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, di sini malam ini.
Anwar turut menambah bahawa beliau telah meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, untuk bersedia mendengar, menemui, serta menerima memorandum daripada golongan pesawah sekiranya terdapat tuntutan yang ingin dikemukakan.
“Sekiranya mahu mengadakan perhimpunan aman, itu tidak menjadi masalah. Namun, jangan mengambil kesempatan untuk mengganggu majlis rasmi negara,” tambah beliau.