KUALA LUMPUR, 31 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menegaskan solidariti berterusan terhadap rakyat Palestin dalam perbualan telefon sempena Aidilfitri semalam.
Dalam perbualan itu, Perdana Menteri menyampaikan ucapan Aidilfitri kepada Presiden Erdogan dan keluarganya serta menzahirkan penghargaan atas hubungan dua hala Malaysia-Turkiye yang semakin kukuh terutama susulan lawatan Presiden Turkiye ke Malaysia baru-baru ini.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan situasi di Palestin dengan Perdana Menteri menegaskan kebimbangan terhadap serangan Israel yang semakin meningkat ketika umat Islam menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
"Serangan sejak 18 Mac lalu telah membatalkan perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai yang sedang dirancang," kata Anwar dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya malam tadi.
Dalam pada itu, Presiden Erdogan mengulangi pendirian tegas untuk terus bersolidariti dengan rakyat Palestin dan menekankan kepentingan perpaduan antarabangsa dalam menentang agresi Israel.
Selain itu, Perdana Menteri turut menerima jemputan daripada Presiden Erdogan untuk berkunjung ke Turkiye dalam masa terdekat.
"Semoga persahabatan erat kedua-dua yang kian mekar saat ini terus utuh dan membawa manfaat buat rakyat kedua-dua negara, Insya-Allah," ujar Anwar.