fb fb fb fb fb

Kanak-kanak maut kemalangan di Terowong Menora

FOTO FACEBOOK Balai Bomba Ipoh

IPOH, 31 Mac- Seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 264. 7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan di Terowong Menora petang semalam.

Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh (BPP) dalam laman Facebooknya memaklumkan kemalangan itu turut menyebabkan seorang wanita dan lelaki cedera parah.

"Pos kawalan Menora menerima panggilan kecemasan pada 6.45 petang. Kemalangan melibatkan sebuah kereta terbabas dibahu jalan.

"Seorang kanak-kanak didapati meninggal dunia di tempat kejadian," menurut kenyataan itu.

Mangsa yang parah diberi rawatan awal oleh unit EMRS dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, video nahas berkenaan tular di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan memaklumkan mangsa yang maut ialah Nairai Falisha Abdul Rahman berusia dua tahun manakala ibu dan bapanya  Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, dan  Nur Fatihah Badrul Hisham, 25, cedera parah.

Abang Zainal berkata kenderaan yang dipandu bapa mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam longkang.

SITI AISHAH MD ISA