fb fb fb fb fb

Anwar adakan lawatan kerja ke UAE bermula esok

Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) bermula esok hingga 14 Januari 2025.

Menurut Wisma Putra, lawatan berkenaan atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

Anwar akan diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

"Perdana Menteri akan menyertai Majlis Pembukaan ADSW dan Majlis Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed bersama ketua negara dan kerajaan dari rantau Afrika, Asia, Asia Tengah, Eropah, dan Asia Barat.

"Dalam program sama, Perdana Menteri dijadual berkongsi perspektif dan pengalaman Malaysia dalam peralihan ke arah sumber tenaga lestari menerusi dialog bertajuk “ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity”.

"Turut dijadual, pertemuan bersama Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, dan rakan sejawat, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

"Perbincangan dijangka tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala bagi mempertingkat kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, khususnya dalam sektor-sektor utama seperti tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data," menurut kenyataan itu.

Selain itu, isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan.

Perdana Menteri dijadual menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA).

Ia akan membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Anwar juga akan meneroka peluang untuk memperkukuh kerjasama serantau khususnya, dalam konteks peranan ASEAN ke arah mempromosikan pembangunan lestari dan inovasi hijau di Asia Tenggara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM