fb fb fb fb fb

Anjur kejohanan futsal dekati pengundi muda

KULIM, 14 November- Pelbagai strategi dilakukan jentera parti bagi mengambil hati pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Selain menggunakan media sosial, aktiviti sukan antara yang paling mudah untuk menambat hati mereka.

Menurut statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun di seluruh negara.

Jumlah tersebut menunjukkan pengundi muda menjadi antara kelompok paling penting dalam PRU kali ini.

Bagi calon Barisan Nasional kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk Sivaraj Chandran, KLM Futsal Tournament yang diadakan di Kulim Hi-Tech merupakan salah satu inisiatif beliau mendekati pengundi muda.

"Program hari ini merupakan program futsal yang dianjurkan oleh BN Padang Serai. Program ini adalah untuk menarik anak-anak muda untuk bersama kita di gelanggang futsal supaya kita boleh mengenali mereka, mereka boleh mengenali saya.

"Pada masa sama kita nak tahu apa sebenarnya orang muda ini nak. Jadi orang muda ni sudah tentu kita tahu melalui sosial media boleh berinteraksi dengan kita sebagainya tetapi ia berbeza dengan interaksi secara bersemuka," kata beliau.


(Datuk Sivaraj Chandran berkata Pelbagai strategi dilakukan jentera parti bagi mengambil
hati pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15)

Katanya program sukan sebegini perlu diteruskan bagi melahirkan golongan belia yang aktif mengamalkan budaya sihat.

Selain itu, Ia juga menjadi antara tarikan golongan belia berbanding mendengar ceramah politik yang seringkali dilakukan untuk berkempen.

"Yang pertama saya rasa gembira ada parlimen yang buat acara dekat KHTP (Kulim Hi-Tech Park). Rasa bangga ada parlimen yang buat untuk sokong anak muda dalam acara futsal," kata pengundi muda, Muhamad Azmi Hamdan

"Saya rasa sebenarnya kami bertuahlaah sebab jarang-jarang kan sebab datang saja pilihan raya macam ni pemimpin baru datang buat kejohanan semua tapi kami harap lepas tu diteruskanlah, kalau selalu dianjurkan, kami pun seronok setiap kali main," kata pengundi muda, Thiveyarupan Ramoo.

"Saya rasa program macam ini sangat bagus kalau diadakan sebab apa bila program-program melibatkan belia ini kiranya belia anak muda dapat kenal calon yang akan bertanding di kawasan itu sendirilah. Sebab apa, la ni anak muda dia lebih suka tentang sentuhan fizikal, jadi kita tak mau dengar manifesto yang pelik-pelik tapi calon tu sendiri turun dengan anak muda, itu yang kita nak," menurut seorang lagi pengundi muda, Muhammad Alif Nizam.

Memasuki minggu kedua berkempen menyaksikan banyak calon parlimen mengambil pendekatan melakukan aktiviti berkempen yang membabitkan golongan belia. ini secara tidak langsung dapat mengambil hati pengundi muda untuk turun mengundi pada 19 hari bulan ini.

(Laporan bersama Wartawan Fahmie Zaidi)

Media Baharu