fb fb fb fb fb

ANIH jangka lebih 180,000 kenderaan sehari guna Lebuhraya KL-Karak sepanjang Aidilfitri

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Datin Radzimah Mohd Radzi/ Foto RTM

TEMERLOH, 28 Mac - Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad menganggarkan jumlah pengguna lebuhraya itu akan meningkat antara 10 hingga 20 peratus, sepanjang musim cuti Aidilfitri ini.

Berdasarkan statistik harian yang direkodkan ANIH Berhad, jumlah kenderaan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak adalah sekitar 100,000 kenderaan sehari dan jumlah itu dijangka meningkat hingga 180,000 kenderaan sehari, sepanjang Aidilfitri.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Datin Radzimah Mohd Radzi berkata, bagi Lebuhraya Pantai Timur, pihaknya meramalkan jumlah kenderaan meningkat berbanding hari biasa, sehingga boleh mencapai kira-kira 42,000 kenderaan sehari, pada kemuncak cuti perayaan.

“Pada hari biasa kita punya anggaran trafik di KL-Karak lebih kurang 100,000 sehari tetapi untuk musim perayaan  kali ini kita anggarkan kenaikan mendadak mungkin dalam 180,000 kenderaan satu hari

Bagi LPT1 pula, kenderaan untuk satu hari puratanya adalah 42,000 dan untuk musim perayaan ni kita anggarkan ianya ke 80,000 kenderaan satu hari", katanya yang ditemui media selepas memberi sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim dan kurang berkemampuan pada Majlis “RAYAVAGANZA” Menyinari Hari Raya Anak-Anak Yatim Negeri Pahang di sini.

ANIH Berhad katanya, telah meminta bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), selain 700 pekerja syarikat itu dalam memastikan keadaan trafik berjalan lancar di setiap tempat meletak kenderaan, termasuk di plaza tol masuk ke kawasan tol.

Pada program berkenaan, seramai 57 penerima berusia 8 hingga 15 tahun daripada empat buah rumah anak yatim di negeri ini, diberi peluang untuk memilih pakaian raya bernilai lebih RM150 seorang.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD