fb fb fb fb fb

Anggota SRS bakal guna aplikasi khas ketika meronda

Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Che Roslan Che Daud

TUMPAT, 27 September - Anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) bakal menggunakan aplikasi khusus bagi meningkatkan kecekapan ketika bertugas.

Aplikasi tersebut sedang dibangunkan dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan, demikian jelas Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud.

Menurut Datuk Che Roslan, aplikasi tersebut membolehkan pihaknya memantau aktiviti rondaan, statistik dan pergerakan SRS di seluruh negara secara langsung.

"Penggunaan teknologi moden ini merupakan salah satu inisiatif dalam memperkukuh keselamatan dan ketahanan komuniti bawah Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif," jelasnya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jom Ronda Bersepadu SRS di perkarangan Pusat Aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Pasir Pekan, Tumpat, malam tadi.

Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan, jumlah KRT Progresif setakat September sebanyak 152 dan angka itu melepasi sasaran awal 116 KRT untuk tahun ini.

"Jumlah KRT Progresif setakat Ogos sebanyak 121 dan jumlahnya meningkat bulan ini apabila 31 lagi KRT dinaik taraf selepas mencapai sasaran ditetapkan," katanya.

Menurut beliau, beberapa faktor dinilai dalam penarafan berkenaan termasuk aktif dan mempunyai potensi dari segi ekonomi dengan mampu menjana pendapatan sendiri dan dapat memajukan kawasan terlibat.

JPNIN menyasarkan sebanyak 500 KRT mendapat status KRT Progresif tahun depan.

Trainee2