fb fb fb fb fb

Anggota Maritim Malaysia cedera dalam insiden berbalas tembakan di perairan Kunak

Foto RTM

LAHAD DATU, 7 April -Dua anggota penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kejadian tembak-menembak di perairan Kunak kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.
 
Dua anggota berkenaan iaitu ketua bot Banggi 48, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel 45 tahun, mengalami kecederaan di bahagian di mata kanan manakala Laskar Kanan Maritim, Prayrie De Cuella Jimin 35 tahun cedera di kedua-dua belah tangan semasa sedang bergelut membalas tembakan.
 
Manakala, empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dr. Suzanna Razali Chan berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media di Lahad Datu.
 
Jelas beliau, berdasarkan laporan awal, seramai tiga orang suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 ketika bot berkenaan dan cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan bagi Op Khas Pagar Laut di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.
 
Tambah beliau lagi, apabila pasukan peronda cuba menghampiri, suspek telah bertindak melepaskan tembakan bagi mengelak daripada anggota bot peronda Maritim Malaysia menghampiri mereka.

Suspek kemudiannya berjaya melepaskan diri dengan membawa bot tersebut.
 
Berikutan kejadian terbabit, Maritim Malaysia telah mengatur gerak Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat, pesawat udara, Bahagian Perisikan Maritim serta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini dan mengesan kesemua suspek terlibat.    
 
Dalam pada itu, kedua-dua anggota Maritim Malaysia yang cedera telah dibawa ke Hospital Kunak untuk rawatan segera.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD