fb fb fb fb fb

Anggota JBPM siap siaga sebarang kemungkinan akibat fenomena La Nina

KUANTAN, 3 September- Anggota bomba di seluruh negara akan mula bersiap siaga bagi menghadapi banjir dan kejadian kepala air susulan fenomena La Nina dan musim monsun timur laut tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib berkata kesiapsiagaan perlu dilakukan ke tahap optimum berikutan ramalan fenomena itu akan membawa lebih taburan hujan di negara ini.

Katanya, berdasarkan makluman pakar meteorologi, fenomena La Nina yang mempengaruhi curahan dan intensiti hujan ketika ini dijangka berpanjangan sehingga hujung tahun.

“Musim banjir ini pelbagai kemungkinan termasuklah kepala air dan sebagainya boleh berlaku. Contohnya seperti di Baling dan Setiu. Perkara sebegini kita susah nak duga. Jadi bagi bomba mereka bersedia sepanjang tahun, kita tidak benarkan mereka mengambil cuti," kata Ismail kepada media selepas merasmikan Pesta Mengemping Padi Paya Kampung Bukit Chempedak Maran, Pahang.

Jelasnya, kejadian kepala air di Kedah dan Terengganu membuktikan hujan lebat boleh berlaku bila-bila masa, walaupun di luar musim tengkujuh.

Beliau menegaskan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersiap siaga menjalankan operasi dalam apa juga situasi malah pihak bomba juga telah meningkatkan keupayaan logistik dan tenaga kerjanya untuk bertindak balas dengan pantas ketika berlaku bencana.

Tambah beliau, JBPM sentiasa peka dengan maklumat oleh Jabatan Meteorologi mengenai monsun monsun timur laut yang boleh membawa bencana banjir di kebanyakan negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Maran berkata Pesta Mengemping yang merupakan satu tradisi keramaian berperanan mengeratkan ikatan silaturahim dan kekeluargaan dalam masyarakat.

Beliau juga menyarankan ribuan hektar paya terbiar dipulihkan untuk tanaman padi dan ternakan air dan lain-lain.


(Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib merasmikan Pesta Mengemping
Padi Paya Kampung Bukit Chempedak Maran, Pahang hari ini)

Media Baharu