NEGERI SEMBILAN, 21 Disember- Jumlah pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencukupi dalam menghadapi situasi banjir terutama di negeri-negeri Pantai Timur.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid berkata, sejumlah 18,053 anggota termasuk Pegawai Bomba Sukarela telah bersiap siaga dan ketika ini memfokuskan kepada kawasan yang terkesan banjir.
(Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid)
Sekiranya masih tidak mencukupi, keanggotaan daripada JBPM negeri yang berdekatan akan digerakkan.
Malah, cuti anggota di negeri yang terkesan banjir juga sudah dibekukan bagi mempersiap mereka untuk gerak kerja menyelamat.
"Dari segi keanggotaan kita mencukupi namun kita telah atur gerak kerja sekiranya keanggotaan yang shift 12 jam ini tidak cukup kita akan tukar kepada shift 24 jam jadi jumlah tambah pada masa sama yang mana bertugas pada waktu pejabat kita ditempatkan semula," kata Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid
Beliau ditemui ketika melakukan lawatan kerja ke pejabat JBPM Negeri Sembilan di Seremban Dua.
Pada majlis sama, Datuk Seri Mohammad Hamdan turut menyampaikan Sijil Penghargaan Hero Bomba kepada Muhammad Zulfikal Asmadi,14 tahun, yang berjaya menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak perempuan yang hampir lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu pada 16 Disember lalu.