PUTRAJAYA, 13 September- “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI” dipilih sebagai tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan memaklumkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M akan diadakan pada Isnin, 16 September 2024 bersamaan 12 Rabiulawal 1446H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula jam 7.30 pagi.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Turut dijangka hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta tetamu kenamaan lain.
Seramai 6,000 peserta dari 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta terlibat dalam sambutan tahun ini.
Acara kemuncak sambutan adalah pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446/2024 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Selain itu, persembahan seni media pemetaan cahaya (mapping) pada latar pentas dijangka menjadi tarikan utama.
Orang ramai juga boleh menyaksikan siaran langsung sambutan tersebut menerusi saluran TV1 dan juga Radio Nasional FM.